Saturday, September 1, 2007

Gaduh: Pemuda mati, rakan parah
Oleh: NURUL HUDA HASSAN

ANGGOTA polis memeriksa sebuah kenderaan yang dipecahkan cermin dalam kejadian serangan di perkarangan tempat letak kereta Pekaka Square, Sungai Dua di George Town, Pulau Pinang semalam.

PULAU PINANG 31 Ogos – Seorang lelaki terbunuh manakala seorang lagi cedera parah dalam satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di hadapan Pekaka Square, Sungai Dua di sini, awal pagi ini.

Mangsa, Mohd. Anwar Harun, 24, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat kecederaan parah di muka dan pendarahan dalaman ekoran dipukul menggunakan objek tumpul keras.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi, mangsa yang cedera parah dari satu lagi kumpulan, berusia lingkungan 30-an dan kini masih
dirawat di HPP.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Koh Hong Sun berkata, siasatan awal menunjukkan kejadian berpunca daripada salah faham antara dua kumpulan berkenaan yang dipengaruhi kesan minuman keras.

Tambahnya, ekoran kejadian itu polis telah menahan tujuh lelaki termasuk tiga orang dari kumpulan yang sama dengan mangsa yang terbunuh untuk membantu siasatan.

‘‘Saya ingin tegaskan bahawa kejadian itu bukan kes isu perkauman tetapi pergaduhan berpunca daripada kesan minuman keras.

‘‘Polis sedang giat menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 149 Kanun Keseksaan,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Difahamkan, polis turut menemui parang, batang besi, batang kayu, sebuah motosikal serta cebisan objek yang pecah akibat dipukul di tempat kejadian.

Tambahnya, dalam kejadian berasingan satu lagi pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki berlaku di perkarangan kondominium Mutiara Heights, Jelutong di sini.
Jelas beliau, dua lelaki berusia 18 dan 19 tahun cedera setelah diserang secara beramai-ramai oleh satu kumpulan lain dan kini dirawat di HPP.

‘‘Belum ada tangkapan dalam kes ini dan siasatan sedang dijalankan dan kes tersebut di siasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

‘‘Polis percaya kedua-dua kes itu mempunyai kaitan antara satu sama lain dan pada masa ini semuanya dalam keadaan terkawal memandangkan tiada lagi kejadian seumpama itu dilaporkan berlaku selepas beberapa jam kedua-dua insiden terjadi,’’ ujarnya.
Sehubungan itu, Hong Sun menasihatkan orang ramai supaya tidak membesar-besarkan kejadian tersebut sekali gus mengelakkan diri dari menyebarkan berita-berita yang tidak berasas berhubung kejadian ini.

No comments: